- Hits: 1771
SELAYANG PANDANG
Politeknik Balik Pulau (PBU) merupakan politeknik yang ke-21 di Malaysia dan politeknik yang kedua di Pulau Pinang. PBU telah ditubuhkan pada 1 Februari 2007 dan telah beroperasi dalam tiga fasa. Pengoperasian PBU dalam fasa pertama adalah di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dengan menawarkan Kursus Sijil Teknologi Maklumat dan kemasukan pelajar yang pertama adalah pada bulan Julai 2007.
Pada bulan Oktober 2007, PBU telah berpindah ke Kampus Transit di Bangunan Ideal Avenue yang terletak di Medan Kampung Relau, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ini merupakan pengoperasian fasa kedua PBU. Kampus Transit PBU dikelilingi dengan pelbagai kemudahan seperti bank, kompleks membeli-belah, pasaraya, restoran dan pelbagai kemudahan lain. Dalam usaha untuk menjadikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, Kampus Transit PBU juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Bilik Kuliah, Makmal Komputer, Perpustakaan, Koperasi, Surau dan Dewan Utama.
Kampus Transit di Ideal Avenue
PBU telah memasuki pengoperasian fasa ketiga apabila kampus tetap di Balik Pulau mula beroperasi pada 28 Oktober 2013. Kampus tetap seluas 8.18 ekar tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan bangunan seperti Pusat Islam, Dewan Serbaguna, Dewan Kuliah, Perpustakaan, Asrama Pelajar, Kuarters Staf, Pusat Sukan dan lain-lain kemudahan.