ISNIN, 5 SEPTEMBER 2022 -

Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu Politeknik Balik Pulau (PBU) bagi ambilan Sesi 1 : 2022/2023 hari ini telah berjalan dengan lancar. Ibu bapa pelajar mula memenuhi perkarangan PBU seawal jam 7.30 pagi. Sesi pendaftaran pelajar bermula di Kamsis PBU pada jam 8.00 pagi.

Semasa sesi pendaftaran kamsis berlangsung, Haji Mohd Yuhaizad bin Yusoff, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik turut turun padang bersama-sama Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Ketua Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat bagi menyantuni ibu bapa dan pelajar baharu. Pendaftaran kali ini berlangsung secara fizikal yang mana bersesuaian dengan keadaan negara yang telah melalui fasa endemik Covid-19. Namun begitu, pematuhan SOP tetap diutamakan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua.

Taklimat bersama waris pelajar telah diadakan secara bersemuka pada jam 11.00 pagi dan tamat pada jam 12.30 tengahari bertempat di Dewan Seri Nirai PBU. Turut hadir ke taklimat tersebut adalah Hajah Roseliza binti Dato’ Shaari, Pengarah PBU diiringi oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit PBU.